LARANGAN MEMANGGIL DENGAN GELARAN TIDAK ELOK |
|
Firman Allah SWT, "HAI
orang-orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki) mencemuh
dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain (kerana) harus puak yang
dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka dan janganlah pula sesuatu puak dari
kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain (kerana)
harus puak dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka dan janganlah sesetengah
kamu menyatakan keaiban sesetengah yang lain dan janganlah pula kamu memanggil
antara satu sama lain dengan gelaran yang buruk. Seburuk-buruk panggilan ialah
(panggilan) nama fasik sesudah iman dan barang siapa yang tidak bertaubat
(daripada perbuatan yang fasik), maka mereka itulah orang-orang yang
zalim." (Surah al-Hujuraat [049], ayat 11)
AYAT ini menceritakan keadaan seorang sahabat Rasulullah SAW
yang bernama Thabit ibnu Qais ibnu Syammas. Beliau merupakan seorang yang pekak
dan tuli. Walau bagaimanapun, beliau suka menghadiri ceramah-ceramah agama yang
diadakan oleh Rasulullah SAW. Setiap kali beliau hadir majlis ilmu tersebut,
para sahabat yang lain akan memberikannya tempat duduk berdekatan dengan
Rasulullah SAW supaya pendengarannya akan lebih jelas dan nyata. Dia juga dapat
mendengar dengan lebih baik setiap apa yang diajarkan oleh Rasulullah SAW.
Pada suatu hari, ketika beliau sampai di masjid, tempat yang
biasa didudukinya telah diambil oleh orang lain. Beliau pun melangkah selangkah
demi selangkah untuk sampai ke hadapan. Walau bagaimanapun langkahan kakinya
tidak disukai oleh orang ramai kerana beliau melangkah di atas belakang dan
kepala jemaah di dalam masjid. Ketika beliau melangkah, beliau berkata,
"Lapangkanlah, lapangkanlah, berilah aku ruang." Tidak diendahkan
Walaupun begitu, kata-katanya tidak diendahkan langsung oleh
orang ramai. Beliau pun meneruskan lagi langkahnya sehinggalah sampai ke
hadapan, kemudian beliau pun duduk. Apabila beliau duduk, berkatalah lelaki di
sebelahnya, "Ini tempat aku dan aku lebih berhak untuk duduk di
situ."
Thabit tidak mempedulikan kata-kata lelaki tadi. Beliau pun
bertanya lelaki tadi, "Siapa kamu ini?"
Jawab lelaki itu, "Si anu anak kepada si anu."
Thabit berasa tidak puas hati dengan jawapan tadi. Beliau pun bertanya lagi
sambil menyebut nama ibu lelaki itu dengan panggilan yang memalukan di zaman jahiliah.
"Kamu anak kepada perempuan si anu binti si
anukah?"
Apabila mendengar pertanyaan Thabit tadi, lelaki itupun
tertunduk malu. Dia malu kerana gelaran itu amat mengaibkan ibunya.
Selepas kejadian itu, maka turunlah ayat ini, ayat 11 surah
al-Hujurat.
Menurut sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Tirmizi
pula, pada zaman Rasulullah SAW, ada seorang lelaki yang mempunyai dua atau
tiga nama gelaran. Orang ramai biasanya memanggil nama lelaki itu dengan nama
gelaran yang ketiga. Lelaki tersebut tidak menyukai jolokan itu.
Sehubungan dengan itu, turunlah ayat tersebut di atas.
Rasulullah SAW lalu membacakan ayat tersebut. Baginda melarang umat Islam
memanggil seseorang lain dengan nama gelaran yang tidak elok.
Pengajaran
* Jangan sesekali memanggil seseorang dengan panggilan yang tidak disukai olehnya.
Informasi
SINGA Allah dan Singa Rasul adalah gelaran agung yang diberikan oleh Rasulullah SAW
kepada Hamzah bin Abdul Muttalib. Pada zaman Rasulullah, memang terdapat
gelaran-gelaran yang diberikan baginda kepada para sahabatnya. Contohnya:
1. Abu Hurairah (Bapa Kucing) diberikan
kepada Abdul Rahman Bin Saqr,
2. Humairah (Pipi Merah) diberikan kepada Siti Aisyah,
3. Asadullah (Singa Allah) diberikan kepada Hamzah Abdul
Muttalib,
4. Saifullah (pedang Allah) diberikan kepada Khalid
al-Walid.
Semua gelaran di atas bukan bertujuan menghina tetapi
menunjukkan rapatnya hubungan Rasulullah SAW dengan mereka
Firman Allah SWT, "Dan
sesungguhnya Kami jadikan untuk isi neraka Jahanam kebanyakan dari jin dan
manusia, mereka mempunyai hati, tetapi tidak dipergunakannya untuk memahami
(ayat-ayat Allah) dan mereka mempunyai mata (tetapi) tidak dipergunakannya
untuk melihat (tanda-tanda kekuasaan Allah), dan mereka
mempunyai telinga (tetapi) tidak dipergunakannya untuk mendengar (ayat-ayat
Allah). Mereka itu sebagai binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi.
Mereka itulah orang-orang yang lalai..."(Surah Al-A'raaf [07], ayat 179)
Renung-renungkan!!!
No comments:
Post a Comment